KAFA masih tunggu kelulusan lesen kelab FAM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BAHRU- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu pelesenan kelab bagi memastikan pasukan Kelantan dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

-Advertisement-

Presiden KAFA Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pihaknya sering berhubung dengan kedua-dua badan induk itu agar pasukan The Red Warriors (TRW) diberikan Pelesenan Kelab FAM.

“Mungkin esok atau lusa keputusan rasmi akan diketahui.

“KAFA sudah melaksanakan segala tanggungjawab berhubung masalah dengan agensi kerajaan seperti hutang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam KAFA di sini, malam tadi.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang juga penasihat KAFA, turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum ini, FAM dan MFL menggantung lesen kelab TRW susulan beberapa masalah yang perlu diselesaikan oleh KAFA, antaranya melibatkan hutang dengan LHDN, Perkeso dan KWSP.

-Advertisement-

Wan Abdul Rahim berkata pihaknya telah dan sedang memenuhi kriteria yang ditetapkan FAM serta MFL bagi permohonan untuk mendapatkan lesen kelab berkenaan.

“Kami sedaya upaya memenuhi kriteria itu, kami membuat pembayaran RM100,000 kepada LHDN, RM200,000 (KWSP) dan RM16,000 (Perkeso) .

“Semua perkara telah kami kemukakan kepada FAM dan MFL untuk dipertimbang dan diharapkan satu keputusan positif diperoleh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata barisan kepimpinan KAFA sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan.

“Pembentukan pasukan melibatkan pemain juga sedang dilakukan dan esok (hari ini) sesi latihan akan dimulakan di bawah kendalian Yusri,” katanya.- BERNAMA