‘Kaji punca sebenar guru enggan divaksinasi’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa diwujudkan program khas membabitkan guru yang enggan divaksinasi bagi mengenal pasti punca sebenar mereka mengambil keputusan sedemikian.

-Advertisement-

Beliau berkata, sebarang bentuk ugutan tidak akan membantu, sebaliknya akan mencetuskan lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan.

“Perlu ada program khas untuk membantu guru kita, jangan hilang keyakinan dan putus asa terhadap guru terbabit.

“Kita masih ada masa yang mencukupi untuk memujuk dan meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan adalah secara berperingkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, baru-baru ini, bahawa guru yang menolak vaksin COVID-19 mungkin ditukarkan jika tindakan mereka menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, guru berkenaan perlu didekati bagi mengetahui punca sebenar mereka enggan divaksinasi.

“Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh berhubung risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin itu dan jika benar, apa langkah terbaik untuk membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa.

-Advertisement-

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka dan jika ia membabitkan aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka hal sebenar,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan, sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi COVID-19 dan vaksinasi, kerajaan wajar mempertimbang untuk mendapatkan bantuan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi berkenaan.

Beliau berkata, tindakan mengugut guru terbabit yang mungkin dipindahkan ke negeri lain hanya akan menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga, selain melihat pendekatan itu kurang berhemah serta autokratik.

“Bagi saya, seramai 2,000 guru masih enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 itu tidak terlalu banyak dan perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana.

“Saya percaya masih ada banyak ruang dan peluang untuk memujuk serta meyakinkan guru terbabit mengambil suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menguruskan isu ini secara tersusun dengan mengenal pasti punca setiap kes dan bukannya mengambil pendekatan secara pukul rata. -BH