Kanak-kanak lemas jatuh dalam laut di Labuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN- Seorang kanak-kanak perempuan berumur 21 bulan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam laut dari rumah perkampungan atas air di Sebor, Saguking, di sini, Rabu.

-Advertisement-

Mayat Nor Saidah Abdul Said ditemui terapung di dalam air di bawah rumah oleh ibu bapanya kira-kira 11 malam ketika mereka mencarinya yang hilang dari bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata ketika kejadian, ibu bapa kanak-kanak itu berada di ruang tamu manakala anak mereka berada di bilik tidur bersendirian.

“Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh melalui dinding papan lapis yang tidak kukuh di bilik tidur berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

-Advertisement-

Ibu bapa kanak-kanak itu cuba menyelamatkan Nor Saidah selepas menariknya keluar dari air tetapi usaha mereka tidak berhasil.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas selepas mengalami komplikasi paru-paru.- BERNAMA