PUTRAJAYA 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti pelaksanaan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) bagi tempoh 2026 hingga 2028 menerusi mesyuarat jawatankuasa induk yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, pada 18 Ogos 2026.
BIMLTK merupakan insentif Kerajaan kepada pegawai dan anggota yang berkhidmat di kawasan pedalaman, dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,500 sebulan berdasarkan kategori kesukaran lokasi. Insentif tersebut melibatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada penilaian kadar bayaran dan pengelasan kawasan pedalaman supaya kedua-duanya kekal bersesuaian dengan perkembangan serta tahap pembangunan semasa di sekitar lokasi penempatan dan fasiliti berkaitan.
Antara yang turut menghadiri mesyuarat ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Puan Ainah binti Mohd Soon; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, YBrs. Puan Norazlin binti Alias; Setiausaha Bahagian Kewangan, YBrs. Encik Wan Saifulikhmal bin Wan Abdul Rahman serta wakil Bahagian Pembangunan dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
-Advertisement-
Mesyuarat turut melibatkan rakan strategik daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan pandangan serta berkongsi input berkaitan pelaksanaan BIMLTK.
Usaha penilaian ini penting bagi memastikan pemberian insentif kepada warga perkhidmatan awam yang bertugas di kawasan pedalaman terus dilaksanakan secara relevan, bersesuaian dengan keadaan setempat dan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam menjalankan amanah perkhidmatan. – The Capital Post