PUTRAJAYA 23 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pengurusan keselamatan Sasaran Penting Negara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN merangkap Pengerusi JPSP, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan Sasaran Penting Negara serta aspek keselamatan di Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.
JPSP merupakan platform penyelarasan yang dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pengurusan keselamatan di bangunan dan premis kerajaan sentiasa berada pada tahap terbaik serta mematuhi garis panduan dan ketetapan yang ditetapkan.
Kerajaan turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselamatan di lokasi strategik negara diurus secara berkesan selaras dengan peruntukan Akta Kawasan Larangan Tempat Larangan 1959 [Akta 298] serta Arahan Tetap Sasaran Penting.
-Advertisement-
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan selaku Setiausaha Mesyuarat JPSP yang baharu, YBrs. Tuan Ahmad Rajiun bin Abu Bakar, bersama wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, PLANMalaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Penglibatan pelbagai agensi berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama antara agensi dalam memastikan pengurusan keselamatan Sasaran Penting Negara dapat dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berterusan demi kepentingan keselamatan negara. – The Capital Post