Kebakaran hutan di Greece: Pangkalan tentera udara, penempatan dikosongkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

ATHENS: Kebakaran hutan yang melanda beberapa bahagian di Greece, memaksa pengosongan sebuah pangkalan tentera udara di bandar tepi laut, Nea Anchialos yang terletak berhampiran bandar pelabuhan Volos, serta 12 penempatan di kawasan itu, menurut Xinhua memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan Greece AMNA, semalam.

-Advertisement-

Penempatan semula pesawat Tentera Udara Hellenic terpaksa dilakukan selepas kebakaran hutan mencetuskan beberapa siri letupan besar semalaman di sebuah depoh peluru, memecahkan tingkap dan merosakkan bangunan di kawasan sekitar.

Kebakaran hutan lebih besar di kawasan Volos menimbulkan cabaran paling sukar bagi anggota bomba sejak dua hari lalu, menurut jabatan bomba.

Di seluruh Greece, sebanyak 83 kebakaran baharu dilaporkan, semalam. Anggota bomba kini bertungkus lumus memadamkan sejumlah 124 kebakaran hutan di seluruh negara ini dalam keadaan amat sukar, menurut jabatan bomba.

Keadaan telah bertambah baik di Pulau Rhodes di mana hampir 20,000 orang telah dipindahkan pada hujung minggu kerana kebakaran mengancam zon kediaman.

Kementerian Krisis Iklim dan Perlindungan Awam membenarkan beberapa pelancong dan penduduk di 12 bandar serta kampung di timur Rhodes pulang ke rumah dan penginapan mereka, lapor AMNA.

Lima orang maut dalam kebakaran hutan, minggu ini. Mayat dua orang awam rentung ditemui pada Rabu lalu berhampiran Volos.

-Advertisement-

Mayat tiga lagi mangsa membabitkan seorang penggembala dan dua juruterbang, ditemui di Pulau Evia pada Selasa lalu. Pesawat dikendalikan dua juruterbang itu terhempas ketika operasi memadam kebakaran.

Pihak berkuasa memaklumkan, lebih 600 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara ini sejak dua minggu lalu.

“Tidak dinafikan, kita dapat melihatnya di seluruh Mediterranean, bahawa krisis iklim berlaku di sini dan memberi kesan kepada kita semua, mungkin lebih teruk daripada amaran saintis,” kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, pada pertemuan dengan Presiden Greece, Katerina Sakellaropoulou, semalam.

– BERNAMA-XINHUA

– BH