Keluarga tahanan dalam lokap boleh mohon lihat rakaman CCTV

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN- Polis sedia menunjukkan rakaman kamera kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian seorang lelaki ditemukan mati tergantung dipercayai membunuh diri semasa di dalam lokap Jumaat lepas, kepada anggota keluarga lelaki berkenaan, jika diminta.

-Advertisement-

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasegaran berkata anggota keluarga lelaki itu boleh memohon kepada polis untuk melihat rakaman CCTV yang terdapat dalam lokap berkenaan, dan pihaknya sedia untuk menunjukkannya.

Beliau berkata keluarga lelaki itu ada meminta polis menyiasat perkara berkenaan, dan menurutnya berdasarkan siasatan awal lelaki itu didapati memang membunuh diri, malah rakaman CCTV yang terdapat dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Kepala Batas itu menunjukkan dia mengikat lehernya dengan baju lokap sebelum mengantung diri di jeriji lokap.

“Kalau keluarganya mahu melihat rakaman itu, polis boleh benarkan mereka untuk tengok supaya mereka berpuas hati dan melihat sendiri apa yang berlaku semasa dia berada dalam lokap,” katanya kepada pemberita pada persidangan media di sini hari ini.

Katanya majistret dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga telah datang melawat lokap serta melihat rakaman CCTV semasa kejadian berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Narenasegaran berkata penahanan lelaki itu dan proses reman serta siasatan dijalankan ke atasnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan setakat ini kematian tahanan berkenaan memang didapati tiada unsur kecuaian atau jenayah.

-Advertisement-

Lelaki berumur 29 tahun yang ditahan pada Rabu di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berumur 38 tahun direman selama tujuh hari sejak Khamis dan kes mereka disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki itu ditempatkan di dalam lokap bersama enam lagi tahanan dan dia dijumpai tergantung pada jeriji lokap pada kira-kira pukul 4.00 pagi Jumaat oleh seorang tahanan yang terjaga daripada tidur sebelum memaklumkan kepada polis, dan difahamkan semasa kejadian, semua tahanan lain di dalam lokap itu sedang tidur.

Ekoran kejadian itu, polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki berkenaan yang meminta supaya pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan itu ketika berada di bawah jagaan polis.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya polis berjaya menyelesaikan 44 kes penipuan skim pelaburan etika sebuah bank membabitkan kerugian lebih RM12 juta selepas menahan seorang lelaki yang juga pekerja bank berkenaan baru-baru ini.

“Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Ipoh, Perak selepas polis memburunya sejak beberapa bulan lepas ekoran laporan polis di buat mangsa-mangsanya. Mereka (mangsa) mendakwa mereka dijanjikan pulangan faedah sehingga lapan peratus setiap tahun, namun pemeriksaan dengan pihak bank mendapati nama mangsa tiada dalam sistem atau di daftarkan menerusi skim berkenaan,” katanya.- BERNAMA