Kembara KARISMA Perkukuh Reformasi Pendidikan Tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PAHANG 28 OGOS 2026 (The Capital Post) – Program Kembara KARISMA menjadi medan interaksi secara langsung antara Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama kira-kira 500 pensyarah dan pentadbir muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Timur bagi membincangkan hala tuju serta cabaran pendidikan tinggi negara.

Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan bahawa cadangan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal atau One Higher Education Act (OHEA) perlu merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan tidak hanya memberi tumpuan kepada isu kebebasan mahasiswa.

Menurut beliau, kerangka perundangan baharu perlu mengambil kira kepentingan mahasiswa, ahli akademik dan pentadbir, termasuk aspek penubuhan institusi, tadbir urus serta pembangunan akademik universiti supaya sistem perundangan pendidikan tinggi dapat diselaraskan dengan lebih menyeluruh.

Usaha tersebut turut selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menjadi landasan kepada transformasi lebih besar dalam sistem pendidikan tinggi, termasuk penyelarasan pelbagai akta yang kini mengawal institusi dan warga pendidikan tinggi.

Dr. Zambry berkata program seperti Kembara KARISMA penting kerana ia menyediakan ruang kepada kementerian untuk mendengar secara terus pandangan serta cabaran yang dihadapi pensyarah dan pentadbir muda ketika melaksanakan tanggungjawab di institusi masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan mahasiswa perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, tanggungjawab, adab serta profesionalisme akademik. Pada masa sama, suara ahli akademik dan pentadbir perlu turut diberi perhatian dalam proses membuat keputusan berkaitan pendidikan tinggi.

Menurutnya, pembaharuan perundangan tidak seharusnya menjadikan akta sebagai instrumen yang menyekat warga pendidikan tinggi, sebaliknya perlu menyediakan ruang yang lebih luas untuk perkembangan institusi dengan tetap berpegang kepada prinsip, tanggungjawab dan tatakelola yang baik.

Sesi berkenaan turut membincangkan isu yuran bersubsidi dengan penegasan bahawa akses kepada pendidikan tinggi untuk semua perlu dikekalkan, termasuk mengambil kira keperluan pelajar daripada latar belakang yang berbeza. Mekanisme pelaksanaan subsidi pula akan diteliti dalam proses penyediaan cadangan baharu.

-Advertisement-

Dalam aspek penyelidikan, Dr. Zambry menyatakan usaha mendapatkan peruntukan lebih besar bagi penyelidikan berimpak tinggi perlu diteruskan, selain memperkukuh kerjasama antara universiti, kementerian dan sektor industri bagi membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah muda.

Beliau turut mencadangkan pendekatan baharu terhadap program sabatikal dengan memberi peluang kepada pensyarah menjalankan penyelidikan secara langsung dalam industri, termasuk syarikat multinasional yang memiliki kemudahan dan teknologi terkini. Pengalaman tersebut juga dicadang untuk diambil kira dalam penilaian kenaikan pangkat.

Mengenai kesejahteraan pensyarah muda, beliau berkata beban pengajaran perlu dinilai berdasarkan fungsi dan kategori universiti supaya tenaga akademik mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat pembacaan, menjalankan penyelidikan serta menyesuaikan kaedah pengajaran dengan perubahan generasi dan perkembangan teknologi.

Program tersebut turut menyaksikan penyerahan Surat Watikah Lantikan CEO@Faculty kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, serta Naib Presiden dan Pengarah Urusan Western Digital Tech and Regional Center Malaysia Sdn. Bhd., Dato’ Raghu Bathanathan, bagi Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Inisiatif berkenaan memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dengan industri.

Sesi yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Kampus Pekan itu turut diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran serta para Naib Canselor dan Pengarah IPT Awam – The Capital Post