Kena tipu scammer nombor telefon unik, mangsa rugi RM550

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 April  — Gara-gara ingin memiliki nombor telefon unik yang kononnya diikeluarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi, seorang lelaki kerugian RM550 selepas ditipu sindiket penjualan nombor telefon tidak wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 30-an baru-baru ini yang membeli nombor telefon khas 010-9899999 selepas melihat iklan tersebut di laman Facebook.

Beliau berkata mangsa menghubungi pihak penjual dan telah membuat pembayaran namun tidak menerima nombor yang dibeli serta penjual tersebut menghilangkan diri.

-Advertisement-

“Dalam usaha mencegah daripada penipuan seperti ini berleluasa, kita menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam transaksi jual beli secara dalam talian serta tidak mudah percaya dengan tawaran jualan barangan yang murah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menyemak ketulenan transaksi, pengesahan akaun menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian serta kaedah yang diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

Katanya, sebanyak 3,514 kes dicatatkan pada 2019 membabitkan penipuan e-dagang dan jumlah kes tersebut meningkat kepada 5,847 pada tahun lepas, manakala bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,132 kes direkodkan.

— BERNAMA

-Advertisement-