Penemuan mayat di Pandan Indah, adik ditahan bantu siasatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 7 April — Polis menahan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang ditemukan dengan kesan luka di bahagian dada di sebuah apartment di Taman Pandan Indah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata suspek berusia 22 tahun itu, adalah adik kepada mangsa yang ditemukan terlentang di atas katil di dalam bilik tidur apartmen berkenaan kira-kira 2 petang.

Beliau berkata suspek yang dipercayai tinggal bersama-sama mangsa di tempat kejadian ditahan kira-kira 6 petang oleh sepasukan anggota polis dari cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

-Advertisement-

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 April depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk dalam pada itu berkata pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras masih menjalankan bedah siasat ke atas mangsa terbabit.

Semalam, media melaporkan polis menerima pemakluman seorang daripada ahli keluarga yang cuba mengesan mangsa di kediamannya selepas dia didapati tidak hadir bekerja oleh majikannya semalam.

-Advertisement-

Mayat lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang di atas katil di bilik tidur itu dipercayai dibunuh berdasarkan kesan cedera pada bahagian dada berpunca daripada objek tajam.

— BERNAMA