Kerajaan akan pastikan industri getah terus berkembang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memacu pertumbuhan dan kemampanan industri getah negara terutamanya membabitkan isu tenaga buruh.

-Advertisement-

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata bagi tujuan itu, Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memperkenalkan panduan berkaitan buruh kepada majikan dalam industri getah.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan industri getah tidak lagi berhadapan dengan isu buruh paksa yang menjejaskan eksport produk berkaitan getah negara.

Katanya, panduan yang diperkenalkan itu juga akan mengukuhkan sokongan kepada industri getah dalam memerangi buruh paksa.

“Panduan ini akan membantu majikan, khususnya mereka yang menggaji pekerja asing tentang cara mengenal pasti risiko buruh paksa dalam amalan pengambilan, pekerjaan dan penyumberan serta cara menangani, mencegah dengan berkesan.

“Ia mampu menghapuskan risiko tenaga buruh paksa dan mengelakkan syarikat pengeluar produk getah menjadi mangsa di kemudian hari.

“Ini adalah satu langkah progresif, satu langkah ke hadapan di mana kita mahu bertindak supaya industri getah domestik menjadi industri yang stabil dari semua aspek termasuk pengurusan, penanaman, kilang penapisan dan pengambilan buruh dari luar negara,” katanya selepas majlis pelancaran panduan itu di sini hari ini.

Zuraida berkata, industri getah negara memang bergantung kepada tenaga buruh asing terutamanya dalam sektor pembuatan hiliran produk getah seperti sarung tangan dan tayar.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), lebih daripada 60 peratus daripada 71,800 pekerja dalam industri getah adalah pekerja asing.

-Advertisement-

Malah katanya, Malaysia juga telah secara berterusan dituduh menggunakan buruh paksa dalam industri getah.

Justeru itu katanya, persekitaran pekerjaan adalah menjadi tumpuan utama bagi memastikan isu buruh paksa dapat ditamatkan segera.

“Nilai eksport industri getah sebanyak RM71 bilion pada 2021 menjadikan ia industri penting dan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Disebabkan itu, industri ini perlu diperkukuh dan menangani masalah berkaitan buruh dengan pantas.

“Panduan ini juga dapat memberikan keyakinan kepada global mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu buruh sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.

“Selain untuk kesejahteraan perniagaan dan ekonomi, ia juga bagi memberikan nilai adil kepada pekerja,” katanya.

-BH