Kerajaan Perpaduan kekalkan penjawat awam, petugas kontrak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Proses penstrukturan dan pembubaran beberapa agensi sepanjang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak membabitkan penamatan serta-merta dalam perkhidmatan awam termasuk perjawatan kontrak.

-Advertisement-

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan melaksanakan penjajaran semula kepada penjawat awam sedia ada di agensi terbabit.

“Sebagai contoh, pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan, Unit Perumahan Awam serta penggabungan KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air).

“Ia tidak membabitkan sebarang penamatan penjawat awam termasuk lantikan kontrak,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) sama ada pembubaran beberapa kementerian dan agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan membabitkan penamatan perkhidmatan penjawat awam dan petugas kontrak.

Armizan berkata, penstrukturan dan penyusunan semula kementerian, jabatan dan agensi dari aspek kewujudan baharu, pembubaran dan penubuhan semula, dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Katanya, antara asas pertimbangan diambil kira ialah keperluan skop fungsi, tugas dan peranan setiap agensi, pertindihan fungsi dan keberkesanan sistem penyampaian.

“Sebarang keputusan dan tindakan adalah berpandukan Dasar Pengoptimuman Perkhidmatan Awam (DPPA) bagi memaksimumkan penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam.

-Advertisement-

“Ia turut mengambil kira usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengawal kadar pertambahan implikasi kewangan kerajaan.

“Pada masa sama, agenda menangani isu pengangguran dilaksanakan secara komprehensif dan berfokus melalui pelbagai inisiatif digerakkan merentasi kementerian, termasuk sektor swasta dan pihak berkepentingan lain,” katanya.

Armizan berkata, strategi dan pendekatan itu bertujuan memastikan usaha menangani isu pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan lebih mampan untuk jangka panjang, bukan bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor awam semata-mata.

Beliau menjawab soalan asal Andi Muhammad Suryady sama ada kerajaan akan mempertimbang menubuhkan semula agensi yang ditutup sebelum ini bagi mengurangkan masalah pengangguran.

Armizan berkata, usaha menangani isu pengangguran termasuk mewujudkan peluang pekerjaan akan dilaksanakan tidak hanya dalam sektor awam tetapi juga sektor swasta, termasuk program keusahawanan.

Menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai penjimatan kos selepas penstrukturan semula pentadbiran, beliau berkata, kadar tanggungan kerajaan bagi membayar emolumen tahun ini menurun kepada 23.4 peratus berbanding 27.8 peratus pada 2022 dan 27.5 peratus (2021).

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373