Kerajaan selesai agih 130,000 peranti, komputer riba

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sejumlah 130,000 daripada 150,000 peranti dan komputer riba sudah diagihkan kepada pelajar B40 di seluruh negara setakat Selasa lalu.

-Advertisement-

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata agihan peranti dan komputer riba inisiatif di bawah Tabung CERDIK yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 berada pada landasan tepat untuk diselesaikan menjelang akhir bulan ini.

“Inisiatif ini dilaksanakan sebagai usaha segera untuk membantu pelajar yang terjejas disebabkan penutupan sekolah.

“Bagi melengkapkan usaha ini kerajaan melaksanakan program Jaringan Prihatin di mana kerajaan memberi subsidi ke atas kos pembelian peranti mudah alih atau bil bulanan telekomunikasi. Lebih 3.4 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’ hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Tengku Zafrul mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PETRONAS.

Projek yang akan diselia oleh Yayasan Hasanah itu akan memberi bantuan komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis. -BH