Kes Jana Wibawa: Datuk Roy akan didakwa tiga tuduhan rasuah RM2.64 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Mohd Hussein Mohd Nasir atau lebih dikenali Datuk Roy tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini, untuk didakwa atas tiga tuduhan terbabit rasuah RM2.64 juta berhubung program Jana Wibawa.

-Advertisement-

Datuk Roy, 54, kelihatan tenang ketika dirakam foto dan video oleh beberapa pengamal media yang berkumpul sejak jam 8 pagi.

Pada 20 Mac lalu, Datuk Roy yang direman bagi membantu siasatan berhubung program Jana Wibawa, dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan lelaki itu dilepaskan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Datuk Roy ditahan ketika memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini, pada jam 3 petang, 13 Mac lalu.

Majistret Mahkamah Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, kemudian membenarkan lelaki itu direman tiga hari dan melepaskan suspek dengan jaminan SPRM, pada 16 Mac lalu.

-Advertisement-

Pada hari sama, Datuk Roy ditahan semula sebelum Mahkamah Majistret Putrajaya menyambung reman empat hari lagi berakhir 20 Mac lalu.

Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

– Berita Harian