Kesatuan Imigreen tolak cadangan jabatan diletakkan bawah agensi lain

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menolak cadangan untuk meletakkan Jabatan Imigresen di bawah mana-mana agensi di negara ini.

-Advertisement-

Presidennya, Khairil Niza Khairudin, berkata seperti sedia maklum, Imigresen adalah agensi penguatkuasaan yang melaksanakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) mengikut undang-undang dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, Imigresen mempunyai keupayaan dan sentiasa bersiap siaga dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara ini dari sebarang ancaman.

“Justeru KPISM berpandangan kenyataan yang mendakwa Imigresen yang diberikan kuasa mengurus PATI gagal dalam menyelia kumpulan itu sebagai tidak berasas dan tidak adil.

“Pegawai di Imigresen melakukan pemeriksaan kawalan di pintu masuk negara yang diwartakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) disediakan.

“Bagi pintu masuk yang tidak diwartakan atau dikenali sebagai laluan tikus, ia tidak dikawal selia oleh Imigresen, sebaliknya dikawal selia oleh agensi keselamatan yang lain.

“Malah KPISM sentiasa menekankan kesiapsiagaan ahlinya yang juga warga kerja Imigresen di segenap lapisan bagi memartabatkan tanggungjawab yang diberikan serta dilaksanakan dengan baik, adil, saksama dengan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

-Advertisement-

Khairil Niza berkata, KPISM juga bersetuju peluang kerjaya di Imigresen dapat dibuka seluasnya kepada pegawai dari Skim Keselamatan dan Pertahanan (Skim KP) yang memenuhi kelayakan.

“KPISM menyokong segala usaha jabatan dalam mengangkat cadangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) agar lebih banyak jawatan di peringkat pengurusan Imigresen dapat difleksikan iaitu dari Gred KP41 dan ke atas supaya pegawai yang berpengalaman serta memiliki akademik yang tinggi berpeluang memegang jawatan di peringkat pengurusan,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita memetik sumber perisikan mencadangkan supaya kerajaan merombak atau menarik semula kuasa yang didakwa terlalu banyak diberikan kepada Imigresen.

Sumber itu mencadangkan mencadangkan supaya Imigresen diletakkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Berita Harian