Ketegangan Russia-Ukraine heret turun Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami penurunan berbanding kenaikan semalam untuk dibuka rendah pada Jumaat, menjejaki prestasi lemah di Wall Street yang dipengaruhi kebimbangan terhadap risiko geopolitik yang baharu di antara Rusia dan Ukraine, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras, susut 1.78 mata kepada 1,603.24 daripada 1,605.02 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 3.28 mata lebih rendah kepada 1,601.74.

Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 314 berbanding 143, manakala 249 kaunter tidak berubah; 1,533 kaunter tidak diniagakan serta 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 345.68 juta unit bernilai RM185.30 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran saham global terus bimbang mengenai ketegangan di antara Ukraine dan Rusia.

Ia menjelaskan bagi peringkat tempatan pula, aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku dalam kaunter berasaskan minyak sawit terpilih susulan kenaikan kukuh berterusan semalam.

-Advertisement-

“Sementara itu, saham teknologi mungkin mencatatkan penurunan, menjejaki kemerosotan Nasdaq dalam tempoh semalaman di Wall Street,” tambahnya dalam nota penyelidikan.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, KL Kepong melonjak 32 sen kepada RM26.12, CIMB susut empat sen kepada RM5.59, Maybank turun tiga sen kepada RM8.65, Petronas Chemicals kurang tujuh sen kepada RM9.23 dan IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM6.62.

Bagi saham aktif, SMTrack kekal tidak berubah pada 24 sen, Datasonic menambah dua sen kepada 49 sen dan Niche Capital naik 2.5 sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, FBM ACE susut 40.71 mata kepada 6,295.92; FBM 70 kurang 60.78 mata kepada 13,753.81; Indeks FBM Emas turun 21.01 mata kepada 11,447.64; Indeks FBMT 100 menguncup 20.45 mata kepada 11,127.79 dan Indeks FBM Emas Syariah tidak berubah pada 12,208.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.65 mata kepada 16,403.97; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.82 mata kepada 210.96 manakala Indeks Perladangan menokok 10.74 mata kepada 7,978.01.

-BERNAMA -BH