KPWKM Perkukuh Pengurusan Aset Kerajaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan Kursus Pengurusan Aset Alih Kerajaan dan Pemantapan Sistem Pemantauan Pengurusan Aset Kerajaan (SPPA) bagi meningkatkan kecekapan pegawai dalam mengurus aset kerajaan secara lebih sistematik, telus dan berakauntabiliti.

Kursus yang berlangsung selama dua hari pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Dewan Perdana Nur, KPWKM itu disertai seramai 65 peserta terdiri daripada pegawai aset, pembantu pegawai aset dan pemeriksa aset yang mewakili kementerian serta agensi di bawah KPWKM.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Institut Sosial Malaysia.

-Advertisement-

Penganjuran kursus tersebut bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai pengurusan aset alih kerajaan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa, selain meningkatkan kefahaman terhadap penggunaan Sistem Pemantauan Pengurusan Aset Kerajaan (SPPA) bagi memastikan aset kerajaan diurus dengan lebih cekap dan teratur.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek pengurusan aset termasuk amalan terbaik, pematuhan tatacara pengurusan aset serta penggunaan sistem pemantauan yang dapat menyokong tadbir urus yang lebih berkesan.

KPWKM turut merakamkan penghargaan kepada penceramah daripada Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan, Puan Rohaslina Wahab dan Puan Nurul Shafenaz Haji Roslan, atas perkongsian ilmu dan pengalaman sepanjang program tersebut.

Kementerian berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh peserta dalam melaksanakan tanggungjawab harian, sekali gus memperkukuh pengurusan aset kerajaan yang lebih cekap, telus dan berintegriti. – The Capital Post