KKM masih tunggu laporan akhir nahas Elmina

Estimate Reading Time: < 1 minute

CHERAS: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu laporan akhir daripada agensi yang terbabit dalam siasatan nahas jet penumpang di Elmina yang mengakibatkan 10 individu terkorban.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata KKM akan mengumumkan laporan akhir sebaik ia diterima.

“Kita masih lagi sedang menunggu laporan dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedang dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Segala laporan ini akan diumumkan selepas laporan akhir disediakan.

“Mungkin Dr Zaliha akan maklumkan perkembangan terkini di sana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Sedekad Bersama Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik Hospital Rehabilitasi Cheras di Auditorium Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr Tan Cheong How.

Dalam nahas jam 2.48 petang semalam, pesawat jenis Beechcraft Premier yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Terminal Skypark Subangsudah mendapat pelepasan untuk mendarat.

-Advertisement-

Bagaimanapun, dua minit sebelum mendarat, pesawat berkenaan telah terhempas di lokasi kejadian.

Mengenai perkembangan terkini di HTAR, jelasnya, KKM akan menjalankan prosedur forensik membabitkan kesemua mangsa.

“Di peringkat KKM kita akan jalankan forensik dan untuk membantu keluarga mangsa, kita sediakan perkhidmatan psikososial untuk menenangkan ahli keluarga,” katanya.

Beliau turut memberitahu, KKM akan memberikan bantuan yang diperlukan termasuk dalam kalangan waris mangsa dan menyelaras semua operasi yang sedang berjalan ketika ini.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373