Kontraktor didakwa gali tanah kerajaan secara haram

Estimate Reading Time: < 1 minute

TEMERLOH: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggali tanah milik kerajaan secara haram di Kampung Bolok di sini, April lalu.

-Advertisement-

Ee Tze Shien, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bolok, Mukim Semantan di sini pada 2.05 petang, 13 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiyuddin Azizan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mazura Ismail yang mewakili Ee, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kewangan tertuduh yang tidak dapat bekerja kerana jentera digunakan anak guamnya disita selepas kejadian itu.

-Advertisement-

“Walaupun tidak mempunyai pendapatan sejak empat bulan lepas, tertuduh tetap menanggung sewaan jentera dan mesin kepada pemiliknya selain masih membayar gaji pekerja,” katanya.

Mazura juga memaklumkan tertuduh yang beralamat di Mentakab, tidak berisiko untuk melarikan diri kerana mempunyai isteri dan anak di daerah ini.

Hakim Jamaludin membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Oktober ini.

– BERNAMA

– BH