KPDNHEP bincang isu caj aplikasi makanan mahal

Estimate Reading Time: < 1 minute

Dungun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pengusaha makanan dan syarikat pengendali aplikasi makanan berhubung isu caj perkhidmatan yang didakwa membebankan pengguna.

-Advertisement-

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menyiasat tindakan pengendali aplikasi yang dikatakan mengenakan caj hingga mengakibatkan harga makanan dijual lebih mahal daripada biasa.

Katanya, pertemuan itu diharap dapat mencari penyelesaian yang menyenangkan semua pihak dan tidak memberi kesan buruk kepada pengguna.

“Sebenarnya kita memang merancang mengadakan pertemuan itu sebelum ini, tetapi disebabkan Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Bekalan Makanan KPDNHEP kepada penduduk Hulu Dungun di sini, hari ini.

-Advertisement-

Rosol berkata, kajian dibuat menunjukkan pengendali aplikasi makanan mengenakan caj antara 20 hingga 38 peratus ke atas perkhidmatan.

“Sebahagian daripadanya tidak dibayar kepada pengusaha kedai makan atau restoran, tapi sepenuhnya dapat kepada pengendali aplikasi,” katanya.

Terdahulu, seramai 292 penerima dari 12 kampung termasuk 50 petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menerima sumbangan berkenaan.-METRO