KLANG 21 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneruskan usaha memperkenalkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerusi penganjuran Program Road To MAHA 2026 (RTM) Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.
Program yang diadakan dari 18 hingga 21 Jun 2026 itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta menarik penyertaan pelbagai pihak menjelang penganjuran MAHA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026.
Majlis perasmian RTM 2026 Zon Tengah telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu yang turut menyaksikan pelbagai aktiviti serta program berkaitan sektor pertanian, agromakanan dan pembangunan usahawan.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung penyerahan cek cura secara simbolik kepada penerima insentif di bawah KPKM sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pembangunan industri agromakanan dan menyokong pertumbuhan usahawan sektor pertanian. Penyerahan simbolik itu diwakili oleh syarikat Biorich Marketing.
Program RTM 2026 dilihat sebagai platform penting untuk mendekatkan masyarakat dengan perkembangan terkini sektor pertanian negara selain memberi peluang kepada usahawan, pengusaha industri dan pemain sektor agromakanan mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang ramai.
-Advertisement-
Penganjuran siri jelajah tersebut juga bertujuan memperkukuh kesedaran mengenai peranan sektor pertanian dalam menjamin keterjaminan makanan negara, di samping menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam industri pertanian moden dan berteknologi tinggi.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) serta Pengarah Pertanian Negeri Selangor yang bersama-sama menyokong usaha memperkasakan sektor pertanian dan agromakanan negara.
Melalui penganjuran RTM 2026, KPKM berharap lebih ramai masyarakat dapat mengenali potensi industri pertanian negara serta mengambil bahagian dalam MAHA 2026 yang bakal menjadi platform utama mempamerkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan Malaysia. – The Capital Post