PUTRAJAYA 18 Mei 2026, (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencatat pencapaian membanggakan apabila memperoleh penarafan Aras 5: Sangat Baik dalam Audit Bahasa Melayu yang pertama kali dilaksanakan di kementerian itu sejak penubuhannya pada 10 Mac 2020.
Pengiktirafan tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari dalam sesi Mesyuarat Penutupan Audit yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPN, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta memastikan penggunaannya diperkukuh dalam setiap urusan rasmi dan pentadbiran kementerian.
Menurut KPN, kejayaan itu turut membuktikan kesungguhan warga kementerian dalam memastikan standard penggunaan bahasa rasmi kerajaan dipatuhi selaras dengan usaha memperkukuh identiti nasional dan perpaduan masyarakat.
-Advertisement-
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Md. Yunus serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Dr. Norhafizah Mohamed Husin. Proses audit pula dikendalikan oleh Munsyi Dewan (Bahasa), Abdul Ghalib Yunus.
Audit Bahasa Melayu dilihat sebagai satu langkah penting dalam mempertingkat mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam selain memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih berkualiti dan berkesan kepada rakyat. – The Capital Post