SHAH ALAM: Bekas banduan jenayah seksual yang disyaki mengurung, mendera dan meliwat remaja lelaki dekat Bukit Kemuning, di sini pada 12 Mei lalu, ditahan di Kuala Lumpur, petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata bekas banduan yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 18 tahun pada April tahun lalu, ditahan dalam serbuan di bilik sewanya, kini dalam tahanan reman sehingga esok.
“Reman pertama akan berakhir pada 19 Mei (esok) dan sekiranya siasatan masih belum lengkap, polis akan memohon lanjutan tempoh reman. Jadi, beri ruang untuk polis lengkapkan siasatan. Insya-Allah saya yakin akan dapat hasil yang positif terhadap tangkapan.
“Suspek ditangkap di biliknya sebab dia bekerja sebagai pemungut hutang dan bergerak menggunakan pelbagai pengangkutan awam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
-Advertisement-
Shazeli berkata, setakat ini siasatan mendapati tiada individu lain yang menjadi mangsa suspek.
“Mangsa dipercayai dipilih secara rawak. Suspek juga ada rekod jenayah menjalani hukuman penjara sebelum ini dan semakan mendapati suspek dibebaskan pada April tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan suspek yang memiliki rekod lampau merogol, mengurung dan merompak wanita dan dipenjarakan pada 2008.
Dalam kejadian pada 12 Mei lalu, polis menerima maklumat kejadian menimpa remaja berusia 14 tahun itu jam 12 tengah hari apabila diselamatkan jiran berdekatan selepas kira-kira tiga jam dikurung dalam rumah berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sebelum menawarkan satu pakej internet telefon bimbit berserta syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah. – Berita Harian