KUALA LUMPUR 23 OGOS 2026 (The Capital Post) – Perkembangan kecerdasan buatan (AI), ketidakpadanan pekerjaan serta keperluan bakat masa hadapan menjadi antara tumpuan utama Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (PKGKPT) 2026 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Persidangan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menghimpunkan pengurusan institusi pendidikan tinggi, kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, badan pentauliah serta wakil pelajar bagi membincangkan cabaran berkaitan kebolehpasaran graduan.
Mengangkat tema “Merapat Jurang, Melakar Peluang, Mencorak Graduan Masa Hadapan”, persidangan berkenaan memberi perhatian kepada isu graduan yang bekerja dalam bidang tidak selari dengan kelayakan, tahap gaji permulaan serta keperluan memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri.
Perbincangan turut meneliti kesan perkembangan AI terhadap landskap pekerjaan serta peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyediakan graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan tuntutan pasaran kerja.
Antara sesi utama yang diketengahkan ialah forum berkaitan pembangunan kurikulum tangkas menerusi kerjasama akademia dan industri, selain wacana yang membincangkan keperluan bakat masa hadapan berdasarkan kehendak sebenar sektor pekerjaan.
Persidangan itu turut memberi ruang membincangkan perubahan corak pekerjaan generasi baharu, termasuk perkembangan ekonomi gig dan kerjaya bebas yang semakin menjadi sebahagian daripada landskap pasaran kerja.
Kebolehpasaran graduan turut dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan sekadar kemampuan mendapatkan pekerjaan, malah merangkumi kesesuaian kemahiran, keupayaan mengadaptasi teknologi, tuntutan industri dan perubahan bentuk kerjaya.
-Advertisement-
Kemuncak persidangan menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menyempurnakan peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 serta penyampaian Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 bagi kategori universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
PSKG 2026–2030 menggariskan lima Teras Strategik, 10 Objektif Strategik, 20 Inisiatif Strategik dan lima Pemboleh Daya sebagai kerangka KPT dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat global dan progresif, pendidikan berteraskan kemahiran, penghasilan pencipta inovatif, pengukuhan sinergi industri-akademia serta aspek tanggungjawab dan pembinaan negara.
Persidangan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan KSU (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.
Turut hadir Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi Hj. Ahmad dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen KPT untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan industri, sekali gus menyediakan graduan yang lebih bersedia menghadapi masa depan pekerjaan. – The Capital Post