KUALA LUMPUR 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan KASIH” yang menghimpunkan seramai 1,400 peserta dari seluruh negara secara bersemuka dan dalam talian menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai aktiviti psikopendidikan pertama seumpamanya di negara ini.
Forum yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri itu bertujuan memperkukuh usaha membina institusi keluarga yang sejahtera dan berdaya tahan melalui pendidikan keluarga, pengurusan emosi serta intervensi awal.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut melibatkan 100 Sesi Kelompok Psikopendidikan Keluarga yang dikendalikan oleh 100 kaunselor profesional berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Menerusi sesi yang berasaskan prinsip Family-Psychological First Aid melalui Modul KASIH Keluarga Ceria, peserta dibimbing untuk memahami punca dan pencetus kemarahan, menilai tahap emosi serta mengenal pasti tanda-tanda awal sebelum keadaan menjadi lebih sukar dikawal.
-Advertisement-
Dalam usaha memperkukuh sokongan kepada pasangan yang berhadapan masalah perkahwinan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara turut menyediakan Badan Pendamai Keluarga LPPKN yang merangkumi perkhidmatan kaunseling keluarga dan tribunal perkahwinan.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan KPWKM dalam memperluas sokongan kepada keluarga melalui pendidikan, bimbingan profesional dan intervensi awal bagi membantu menangani cabaran emosi serta konflik dalam rumah tangga – The Capital Post