KUALA LUMPUR 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan KASIH” yang menghimpunkan seramai 1,400 peserta secara bersemuka dan dalam talian mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai aktiviti psikopendidikan pertama seumpamanya di negara ini.
Forum yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keluarga yang sejahtera dan berdaya tahan melalui pendidikan keluarga, pengurusan emosi serta intervensi awal.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut melibatkan 100 Sesi Kelompok Psikopendidikan Keluarga yang dikendalikan oleh 100 kaunselor profesional berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Menerusi pendekatan berasaskan prinsip Family-Psychological First Aid melalui Modul KASIH Keluarga Ceria, peserta dibimbing untuk memahami punca dan pencetus kemarahan, menilai tahap emosi serta mengenal pasti tanda-tanda awal sebelum sesuatu keadaan menjadi lebih sukar dikawal.
-Advertisement-
Dalam usaha memperkukuh sokongan kepada pasangan yang berdepan cabaran dalam perkahwinan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara turut menyediakan Badan Pendamai Keluarga LPPKN yang merangkumi perkhidmatan kaunseling keluarga dan tribunal perkahwinan.
Pendekatan berkenaan menjadi antara usaha kementerian memperluas akses kepada sokongan profesional serta intervensi awal bagi membantu keluarga mengurus konflik dan emosi secara lebih berkesan – The Capital Post