KSU KPT Tinjau Impak Pembangunan Fasiliti Strategik UPM

Estimate Reading Time: < 1 minute

SERDANG 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, mengadakan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan KPT pada 24 Ogos lalu.

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada beberapa kemudahan strategik UPM yang menerima manfaat daripada peruntukan pembangunan kerajaan, termasuk Hospital Veterinar Universiti serta Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.

Di Hospital Veterinar Universiti, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin berkesempatan meninjau kemudahan imbasan CT Scan berteknologi tinggi yang menyokong keupayaan universiti dalam bidang pengajaran, penyelidikan serta perkhidmatan veterinar.

Beliau kemudiannya melawat Hospital Sultan Abdul Aziz Shah bagi melihat pengoperasian Unit Strok Bergerak, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan berasaskan pendekatan inovatif dalam membantu meningkatkan keupayaan rawatan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

-Advertisement-

Kedua-dua kemudahan berkenaan mencerminkan impak pelaburan pembangunan kerajaan dalam memperkukuh kapasiti UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja berperanan dalam pendidikan dan penyelidikan, malah turut menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

UPM turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas sokongan dan komitmen berterusan dalam meningkatkan fasiliti serta infrastruktur universiti. Sokongan tersebut dilihat penting bagi memastikan UPM terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta negara – The Capital Post