KSU Pertahanan Sertai Penerbangan Latihan Su-30MKM

Estimate Reading Time: < 1 minute

SELANGOR, 29 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali, menyertai penerbangan latihan bersama pesawat Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai sebahagian daripada persiapan persembahan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.

Penerbangan tersebut memberi peluang kepada beliau menilai sendiri keupayaan aset udara TUDM dalam situasi operasi, termasuk aspek kesiapsiagaan, keberkesanan pelaksanaan, keandalan serta keupayaan penyelenggaraan bagi memenuhi keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penglibatan itu turut memberikan perspektif terhadap sejauh mana pelaburan pertahanan yang dilaksanakan kerajaan dapat diterjemahkan kepada keupayaan ketenteraan yang nyata, relevan dan berkesan dalam menyokong kesiapsiagaan ATM.

-Advertisement-

Menurut Kementerian Pertahanan, pendekatan berkenaan mencerminkan kepentingan memastikan perancangan strategik dan pembangunan keupayaan pertahanan sentiasa selari dengan keperluan serta realiti operasi.

Dalam konteks sambutan Hari Kebangsaan, keupayaan aset udara yang dipamerkan turut melambangkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dan ATM dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus dipelihara. – The Capital Post