MELAKA 24 Jun 2026 (The Capital Post) – YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, telah mengadakan lawatan kerja ke Dino Swim Academy bersempena Siri Jelajah Hebatkan Perniagaan Malaysia Power-Up10K di negeri ini.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan melalui sesi libat urus bersama usahawan serta penilaian terhadap perkembangan perniagaan yang berpotensi untuk terus diperkasa di peringkat lebih luas.
Dalam program yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan Majlis Perasmian Premis serta penyerahan cek cura kepada syarikat Avernoble Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan kerajaan dalam memperkukuh kapasiti perniagaan tempatan.
Selain itu, YB Encik Steven Sim Chee Keong turut mengadakan sesi Meet & Greet bersama peserta Program GrowBiz bagi mendengar secara langsung cabaran yang dihadapi usahawan, di samping berkongsi pandangan serta aspirasi dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.
-Advertisement-
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui sokongan pembiayaan, pembangunan kapasiti serta bimbingan strategik yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Usaha ini juga dijangka membantu meningkatkan daya saing usahawan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat secara mampan dan inklusif.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YB Tuan Allex Seah Shoo Chin, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka; YB Tuan Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka; serta pengurusan kanan KUSKOP dan agensi berkaitan. – The Capital Post