Langkah terbaik rundingan terus pengeluar asal peralatan tentera

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pendekatan kerajaan memperoleh aset ketenteraan secara terus melalui rundingan dengan pihak pengeluar peralatan asal (OEM) adalah langkah terbaik bagi memastikan tiada pihak mengaut komisen yang keterlaluan dalam proses perolehan.

-Advertisement-

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapt (B) Datuk Sharuddin Omar, berpandangan perjanjian perolehan aset antara kerajaan dengan OEM juga perlu dilaksanakan secara rundingan terus meskipun pihak pengeluar melantik ejen bagi mewakili mereka dalam negara.

“Bermakna, ejen yang dilantik itu adalah di bawah OEM dan tidak ada kaitan dengan kerajaan Malaysia. Soal komisen atau bayaran bagi perkhidmatan itu kesemuanya di bawah OEM tersebut. Kerajaan hanya berunding sahaja dengan OEM.

“Pelantikan penasihat tempatan oleh OEM juga mestilah terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai pengalaman serta kepakaran untuk memberi nasihat terbaik mengikut keperluan pengguna dan menepati polisi kerajaan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, perjanjian antara kerajaan dan OEM juga harus mengambil kira kelebihan yang bakal dinikmati oleh syarikat tempatan dan rakyat, khususnya kepada veteran yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam aspek peralatan dan teknologi pertahanan.

Selain itu, Sharuddin berpendapat rombakan pada sistem perolehan aset tentera juga wajar diteliti secara mendalam oleh kerajaan agar ketirisan tidak berlaku dan memastikan tatakelola yang baik.

-Advertisement-

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung perkara berkenaan bagi mengenal pasti aset dan spesifikasi yang diperlukan dalam usaha memperkasakan pertahanan negara.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata sistem perolehan aset ATM perlu dirombak bagi memastikan tiada pihak luar mengaut komisen yang keterlaluan daripada proses perolehan aset.

Anwar berkata, rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal tidak selaras dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik dan strategik Malaysia.

– BERNAMA

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373