KUALA LUMPUR 28 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 57 pegawai Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan lawatan profesional ke Pusat PERMATA Kurnia pada 27 Ogos 2026 bagi memperkukuh pengetahuan serta kompetensi dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan khas.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Bengkel Kerja Peningkatan Kompetensi Secara Professional Learning Community bagi Pegawai Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas Tahun 2026.
Peserta terdiri daripada pegawai dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk terapi pertuturan-bahasa, terapi cara kerja, audiologi, fisioterapi serta psikologi dan intervensi pendidikan.
Sepanjang lawatan, para pegawai diberikan taklimat dan dibawa meninjau operasi Pusat PERMATA Kurnia bagi mendapatkan pemahaman lebih dekat mengenai pendekatan intervensi yang dilaksanakan, khususnya dalam menyokong perkembangan kanak-kanak autisme.
Program tersebut turut menjadi platform perkongsian amalan terbaik berkaitan pengurusan pembelajaran kanak-kanak autisme, termasuk penerapan struktur pembelajaran serta penyediaan persekitaran yang mengambil kira keperluan sensori.
-Advertisement-
Pendedahan secara langsung itu membolehkan peserta meneroka kaedah dan pendekatan intervensi awal yang boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan sokongan pendidikan khas di seluruh negara.
Lawatan profesional berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan KPM dalam membangunkan kompetensi pegawai melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman, sekali gus memastikan sokongan pendidikan khas dapat disampaikan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Perkongsian ilmu yang diperoleh diharap dapat diterapkan dalam pelaksanaan perkhidmatan di pusat-pusat pendidikan khas serta memberi manfaat kepada kanak-kanak autisme dan keluarga mereka, selaras dengan aspirasi “Kecemerlangan Insan Istimewa, Kegemilangan Bersama” – The Capital Post