Lawatan ke Kem Marakah Tinjau Penugasan Terakhir MALBATT Di Lubnan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LUBNAN 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Lawatan rasmi hari kedua ke Lubnan diteruskan dengan kunjungan ke UNP 2-1, Kem Marakah di selatan negara itu, yang menempatkan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13.

Kunjungan tersebut memberi ruang untuk mendapatkan taklimat mengenai perkembangan semasa penugasan MALBATT 850-13, termasuk kawasan tanggungjawab serta persiapan menjelang berakhirnya penugasan kontinjen Malaysia di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Sejak 2007, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi UNIFIL mencerminkan sumbangan negara terhadap usaha memelihara keamanan dan kestabilan antarabangsa.

-Advertisement-

MALBATT 850-13 merupakan kontinjen terakhir Malaysia yang ditugaskan di bawah misi berkenaan, sekali gus menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan anggota ATM dalam operasi pengaman di Lubnan.

Sepanjang tempoh tersebut, anggota ATM telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam misi keamanan antarabangsa dengan penuh profesionalisme dan dedikasi, sebagai sebahagian daripada sumbangan Malaysia kepada usaha keamanan sejagat – The Capital Post