MARAKAH 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Batalion Malaysia (MALBATT) mengadakan majlis simbolik penyerahan aset kepada Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces, LAF) di Kem Marakah sebagai sebahagian daripada proses pengunduran menjelang berakhirnya penugasan MALBATT di Lubnan.
Penyerahan itu melibatkan sebanyak 292 aset yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$10 juta, termasuk kenderaan dan pelbagai kelengkapan. Proses penyerahan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Januari 2027.
Sebagai sebahagian daripada proses pengunduran, aset MALBATT dibahagikan mengikut keperluan, dengan sebahagiannya dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan atau diserahkan kepada LAF.
Penyerahan aset berkenaan mengambil kira potensi manfaatnya kepada pihak LAF dan masyarakat setempat, khususnya bagi menyokong aspek kebajikan, bantuan kemanusiaan serta usaha mengekalkan keamanan di negara itu.
-Advertisement-
Majlis penyerahan simbolik disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, kepada wakil LAF, Brigadier General Engineer Bassem Saad. Majlis itu turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar bin Udzir.
Penyerahan tersebut diharap dapat memastikan aset berkenaan terus dimanfaatkan bagi menyokong keperluan pihak penerima dan masyarakat Lubnan walaupun selepas penugasan MALBATT berakhir – The Capital Post