Lebih 120 juta rakyat AS diarah mematuhi amaran kualiti udara

Estimate Reading Time: 2 minutes

LOS ANGELES: Lebih 120 juta penduduk di puluhan negeri di Amerika Syarikat (AS) diletakkan di bawah amaran kualiti udara sejak Khamis, susulan asap akibat kebakaran hutan di Kanada terus menyelubungi seluruh negara.

-Advertisement-

Pusat Bomba Hutan Antara Agensi Kanada menjelaskan, Kanada berdepan musim kebakaran terburuk dalam rekodnya apabila ratusan kes kebakaran berlaku di seluruh negara, dengan lebih 250 kebakaran di luar kawalan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) memaklumkan, ketika kepulan asap terus merebak ke AS, amaran kualiti udara sudah dikeluarkan untuk lebih 12 negeri di AS termasuk New York, Iowa, Wisconsin, Illinois, Indiana, Michigan, Delaware dan Maryland.

Menurut Indeks Kualiti Udara dikeluarkan IQAir, setakat pagi Khamis, Washington DC, Chicago dan Detroit adalah antara bandar yang mempunyai kualiti udara paling teruk di dunia.

-Advertisement-

Lebih satu pertiga penduduk AS berada di bawah amaran kualiti udara, mendorong pihak berkuasa menyeru orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan berjaga-jaga, beberapa minggu selepas asap kebakaran yang sama turut menyelubungi Timur Laut.

NWS sudah mengeluarkan amaran bahawa sekiranya kebakaran hutan di Kanada tidak dikawal, kualiti buruk udara mungkin akan berterusan.

Pihak berkuasa juga bimbang asap dari kebakaran itu boleh menghalang perjalanan dan membawa kepada kelewatan serta pembatalan penerbangan untuk rakyat AS terutama ketika cuti 4 Julai.

Asap kebakaran Kanada menyebabkan keadaan awam berjerebu sehingga merentasi ke Eropah.

Pembakaran terkawal dilakukan bagi menghentikan kebakaran hutan di Quebec, Kanada merebak lebih luas. - Foto AFP
Pembakaran terkawal dilakukan bagi menghentikan kebakaran hutan di Quebec, Kanada merebak lebih luas. – Foto AFP

Pegawai kesihatan menggesa mereka yang berada dalam kategori kualiti udara yang tidak sihat atau lebih teruk untuk menahan diri daripada melakukan aktiviti luaran yang berpanjangan atau berat.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata asap dan abu kebakaran hutan boleh menjejaskan mata, hidung, tekak dan paru-paru, selain mengakibatkan batuk atau semput dan kesukaran bernafas.

Katanya, kaedah paling berkesan untuk melindungi diri dari kesan asap kebakaran adalah dengan berada di dalam rumah atau mengehadkan masa di luar rumah.

“Ini penting terutama bagi mereka yang mempunyai masalah jantung atau paru-paru dan berisiko untuk menerima kesan kesihatan lebih buruk,” kata CDC. – AGENSI

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373