Lebih 300 individu ditahan seludup pelbagai barang bernilai RM170 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Lebih 300 individu ditahan kerana disyaki menyeludup pelbagai rokok, minuman keras, hasil hutan dan hidupan liar yang dianggar bernilai RM170 juta, dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas.

-Advertisement-

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata jumlah rampasan oleh Pasukan Polis Marin itu meningkat lebih 130 peratus jika dibandingkan dengan tahun lepas.

“Kira-kira RM42 juta daripada jumlah nilai barangan yang dirampas itu merupakan nilai rokok yang diseludup.

“Polis Marin akan meningkatkan operasi, risikan dan kawalan keselamatan di perairan negara bagi mengawal penyeludupan rokok memandangkan negara mengalami kerugian lebih kurang RM5 bilion,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Operasi Keselamatan Maritim Serantau 2019 (MaSO 2019) di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut merampas dua tangki minyak bersubsidi yang cuba diseludup keluar di Sarawak, kira-kira tiga hari lepas.

-Advertisement-

“Kejayaan itu merupakan hasil kerjasama polis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata bengkel yang disertai 35 pegawai kanan daripada pelbagai agensi termasuk polis, penguat kuasa maritim, tentera dan agensi kawalan keselamatan dari 13 negara itu bermula semalam hingga Jumaat.

Beliau berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam bengkel itu ialah penguatkuasaan undang-undang maritim, undang-undang antarabangsa, isu migran dan peranan maritim dalam isu kemanusiaan.- BERNAMA