Lima Pendaki Tersesat Di Bukit Larut Berjaya Diselamatkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAIPING 18 September 2026 (The Capital Post) – Lima pendaki yang dilaporkan tersesat ketika menjalankan aktiviti pendakian di Bukit Larut, Taiping, berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat pada malam 17 September 2026.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 26 tahun serta tiga wanita berusia 29 tahun yang mengalami kesukaran untuk mencari jalan keluar selepas tersesat ketika berada di kawasan bukit berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 6.01 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Operasi pencarian melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping serta BBP Kamunting dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Renjer Hutan dan pihak pengurusan Bukit Larut.

-Advertisement-

Menurut beliau, ketua operasi menjalankan penilaian awal situasi serta menggunakan Konsep LAST bagi menyusun strategi pencarian dan penyelamatan dengan penyelarasan antara agensi terlibat.

Kesemua mangsa berjaya ditemui pada jam 9.42 malam dalam keadaan selamat tanpa mengalami kecederaan serius, namun mereka dilaporkan mengalami kekejangan otot akibat keletihan. Kesemua pendaki kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tersebut melibatkan 15 anggota bomba, lapan anggota PDRM dan dua kakitangan pengurusan tempatan sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.03 tengah malam – The Capital Post