Litar Rasa MADANI Himpunkan 40 Usahawan Mikro di Sepang

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha memperluas peluang perniagaan usahawan mikro menerusi penganjuran Litar Rasa MADANI yang berlangsung di G Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang, dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Persiapan akhir program tersebut ditinjau oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, bagi memastikan segala keperluan penganjuran berjalan lancar.

Program anjuran KUSKOP dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu menghimpunkan 40 usahawan mikro yang akan menawarkan pelbagai produk tempatan serta sajian beraneka cita rasa Malaysia.

Penganjuran Litar Rasa MADANI merupakan inisiatif bagi memastikan usahawan mikro turut berpeluang meraih manfaat ekonomi daripada penganjuran acara bertaraf antarabangsa, termasuk melalui peningkatan pendedahan kepada pengunjung dan pelanggan berpotensi.

-Advertisement-

Selain menyediakan ruang jualan, program itu turut berperanan sebagai platform untuk usahawan memperluas pasaran, mengukuhkan penjenamaan serta meningkatkan potensi jualan produk mereka.

Orang ramai, khususnya pemegang Tiket MADANI yang menghadiri acara berkenaan, turut digalakkan mengunjungi Litar Rasa MADANI bagi menyokong usahawan tempatan dan menikmati pelbagai pilihan makanan pada harga berpatutan.

Inisiatif ini diharap dapat membantu memperkukuh daya saing usahawan mikro serta mewujudkan limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan – The Capital Post