Pameran Khazanah Kars Malaysia Papar Warisan Geologi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Pameran Khazanah Kars Malaysia membuka ruang kepada orang ramai untuk meneroka keunikan warisan geologi negara yang terbentuk sejak jutaan tahun lalu, selain memahami ekosistem gua, kepelbagaian biodiversiti serta penemuan arkeologi yang berkait rapat dengan sejarah dan budaya masyarakat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Khazanah Kars Malaysia di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur, pada 1 Oktober lalu.

Pameran anjuran Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Alam Semula Jadi itu berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026, dengan kandungan pameran dibahagikan kepada tiga segmen utama yang mengetengahkan pembentukan landskap kars serta kepentingannya dari sudut geologi, biodiversiti dan warisan.

Antara aspek yang dipaparkan termasuk geomorfologi kars, penemuan fosil dan arkeologi serta kepelbagaian flora dan fauna yang mendiami kawasan kars. Pameran turut memberi tumpuan kepada aspek konservasi dan pengurusan kawasan kars, termasuk usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

-Advertisement-

Sebanyak 87 koleksi dipamerkan kepada pengunjung, merangkumi spesimen mamalia, aves atau burung, amfibia dan reptilia, selain koleksi batuan, fosil, penemuan arkeologi, spesimen siput serta koleksi herbarium.

Penganjuran pameran ini menyediakan peluang kepada masyarakat untuk mengenali khazanah kars Malaysia dengan lebih dekat serta memahami nilai geologi, alam semula jadi dan warisan yang terkandung dalam kawasan berkenaan – The Capital Post