Mahkamah tolak permohonan pengisytiharan MA63 tidak sah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING : Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak saman sivil yang difailkan oleh 11 plaintif yang mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diisytiharkan sebagai tidak sah.

-Advertisement-

Hakim Alexander Siew How Wai, ketika menyampaikan keputusan penghakimannya berkata, mahkamah menolak tuntutan itu kerana menganggap perkara itu tidak kukuh.

Saman itu difailkan 11 plaintif yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada 24 November 2021 bagi meminta mahkamah menilai kesahihan pengisytiharan MA63 dan pembentukan Malaysia.

Mereka ialah Dorus Katan Juman @ Theodorus Katan, Hugh Lawrence Zehnder, Xavier Ginafah Sidop, Jemain Uji, Belayong Nyandang, Kalai Sibok, Yu Chin Liik, Chieng Kung Chiew, Changieng Mapang, Ahmad Awang Ali dan Giovanni Adlim Mideh.

Kerajaan British, kerajaan Malaysia dan Sarawak dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu.

Plaintif yang diwakili peguam yang juga Presiden PBK, Voon Lee Shan, berhujah bahawa MA63 adalah perjanjian yang tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

-Advertisement-

Berikutan itu, mereka meminta supaya undang-undang untuk hak kebebasan dan kemerdekaan Sarawak seperti dalam resolusi 1514 dan 1501, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digunakan.

Bagaimanapun, pada 13 April 2022, kerajaan Sarawak memfailkan permohonan untuk menolak saman itu atas alasan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perjanjian antarabangsa seperti MA63.

Selain Lee Shan, plaintif turut diwakili oleh naib presiden parti itu, Peli Aron manakala kerajaan Sarawak pula diwakili Datuk Seri JC Fong.

– Berita Harian