Majlis Syura Ulama PAS saring lebih 300 nama sebagai calon PRN

Estimate Reading Time: < 1 minute

ARAU: Lebih 300 nama yang dicadangkan Perhubungan PAS Negeri sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri disaring oleh Majlis Syura Ulama Pas pada sesi tapisan Jumaat lalu.

-Advertisement-

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasim mengesahkan bahawa daripada jumlah berkenaan, Majlis Syura Ulama ada menolak nama individu yang dicadangkan kerana didapati mempunyai masalah moral, ‘dosa besar’ selain memberi kesan kepada parti itu jika nama itu terus dicalonkan.

“Tapisan yang dibuat adalah sangat teliti bagi memastikan 126 calon yang terpilih bertanding di bawah PAS dan Perikatan Nasional (PN) ini benar-benar berkelayakan dan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Ada nama yang dicadangkan itu ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan terutamanya berkaitan akhlak dan moral.

“Jika diteliti juga antara syarat bagi melepasi tapisan Majlis Syura adalah seseorang itu mesti mempunyai moral dan akhlak baik, tidak meninggalkan tanggungjawab fardu ain dan tidak melakukan ‘dosa besar’,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Antara nama yang disebut bakal dijadikan calon dalam PRN kali ini adalah bekas pemimpin kanan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Selain itu juga, nama Nik Mohamad Abduh yang juga anak bekas kepada Menteri Besar Kelantan dan bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan sebagai seorang daripada nama yang berjaya melepasi saringan Majlis Syura Ulama Pas untuk bertanding di Kelantan nanti.

-Advertisement-

Ini adalah kemunculan semula Nik Abduh yang digugurkan PAS daripada bertanding mempertahankan Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Hashim turut menjelaskan bahawa ‘dosa besar’ yang dimaksudkan parti itu adalah kesalahan besar dari sudut Islam.

“Dosa besar ini adalah bermaksud kesalahan besar yang dilakukan dari sudut Islam.

“Nama yang sudah melepasi saringan dan tapisan ini pula akan diserahkan kembali kepada PAS negeri untuk pertimbangan penentuan kerusi yang akan ditandingi,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373