Malaysia Perkukuh Kerjasama Media ASEAN di SOMRI

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh peranan dalam kerjasama serantau apabila mengetuai penyertaan ke Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (23rd SOMRI) yang berlangsung di Brunei Darussalam.

Delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil, dalam pertemuan yang menghimpunkan pegawai kanan sektor maklumat dari negara-negara anggota ASEAN bagi membincangkan hala tuju serta inisiatif baharu dalam bidang komunikasi dan media serantau.

Perbincangan memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik ASEAN dalam sektor maklumat, termasuk pembangunan ekosistem media yang lebih berdaya tahan serta responsif terhadap perubahan landskap digital semasa.

-Advertisement-

Dalam masa yang sama, Malaysia turut mendapatkan sokongan negara anggota ASEAN bagi memuktamadkan ASEAN Guideline on Safe and Responsible Use of Social Media Platforms for ASEAN, iaitu satu inisiatif penting yang bertujuan mempromosikan penggunaan media sosial yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab di rantau ini.

Penyertaan aktif Malaysia dalam SOMRI ke-23 ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau serta memastikan landskap komunikasi ASEAN kekal relevan, progresif dan inklusif selaras dengan perkembangan teknologi digital. – The Capital Post