PM Anwar Seru Politik Harapan Diteruskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan politik negara tidak hanya berkisar kepada kemenangan pilihan raya, sebaliknya merupakan usaha berterusan dalam menentukan hala tuju Malaysia sama ada kekal dengan amalan politik lama atau bergerak ke arah sistem yang lebih berasaskan pertanggungjawaban, keadilan dan ihsan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini, dengan menekankan usaha pembaharuan pentadbiran negara yang melibatkan pengukuhan tatakelola, pembanterasan ketirisan serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif reformasi yang dilaksanakan telah mula menunjukkan hasil termasuk peningkatan aliran pelaburan, pengukuhan sistem pentadbiran serta pemulihan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kedudukan ekonomi negara.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa perjalanan pembaharuan tersebut masih jauh daripada sempurna dan memerlukan usaha berterusan memandangkan masih terdapat pelbagai isu serta kelemahan sistem yang perlu diperbaiki secara menyeluruh.

-Advertisement-

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor agar terus mendukung politik harapan yang berteraskan perpaduan, kasih sayang dan kestabilan dalam usaha membina negara yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah, adil serta sejahtera untuk semua lapisan masyarakat. – The Capital Post