Maybank guna kaedah pengesahan lebih selamat lindungi pengguna

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Maybank akan berhijrah sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

-Advertisement-

Ini selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya berhijrah daripada kata laluan sekali guna (OTP) SMS kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi ini.

Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun bagi meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan e-mel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata ini adalah sejajar dengan usaha bank itu untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

“Kami kekal komited dalam membantu pelanggan bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu. Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan.

“Kami juga menyokong pengumuman BNM pada 26 September lalu berhubung lima langkah yang akan diguna pakai oleh bank-bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. Industri perbankan komited untuk bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelang suku keempat 2022, Maybank juga akan memperkenalkan tempoh bertenang setelah pelanggan mengaktifkan Secure2u pada peranti berbeza untuk membantu menghalang kelulusan tanpa kebenaran.

Tempoh bertenang sebelum pengaktifan Secure2u pada peranti mudah alih baharu akan memberikan masa yang secukupnya untuk pelanggan mengesah dan melapor kepada bank sekiranya berlaku sebarang pendaftaran tanpa kebenaran.

Bank telah memperkenalkan penggunaan Secure2u pada April 2017 sebagai cara yang lebih selamat dan mudah untuk pelanggan Maybank meluluskan transaksi Maybank2u dan MAE, menggunakan ‘Secure Verification’ (kelulusan sekali tekan) dan kod pengaktifan transaksi selamat (nombor TAC enam digit yang dijana pada aplikasi mudah alih).

-Advertisement-

Ciri ini adalah alternatif kepada SMS TAC.

Pengenalan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama Secure2u atau apabila peranti baharu didaftarkan pada Secure2u adalah langkah tambahan yang akan dilaksanakan oleh Maybank dalam usaha untuk mengurangkan peningkatan dalam kes penipuan kewangan di seluruh negara dan dalam usaha untuk terus melindungi butiran akaun dan simpanan pelanggannya.

Dari segi mengetatkan peraturan pengesanan penipuan dan pencetus untuk menyekat transaksi yang mencurigakan, Maybank mempunyai sistem pengesanan dan pemantauan penipuan dengan peraturan khas dan parameter risiko tambahan.

Selain itu, Maybank telah menyediakan proses pengesahan panggilan balik untuk memaklumkan pelanggan tentang transaksi yang mencurigakan.

Maybank telah pun mempunyai talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.

Pelanggan digesa untuk menghubungi talian hotline penipuan di +603 5891 4744 dengan kadar yang segera jika mereka mengesyaki butiran perbankan telah terjejas atau berlaku transaksi yang mencurigakan atau sekiranya ingin menggantung akaun bank mereka dengan pantas.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan Maybank di 1 300 88 6688 berhubung perkara di atas.

Ini akan membolehkan Maybank membantu pelanggan dengan segera untuk mencegah kerugian berlanjutan dengan segera.

-BH