Pasaran saham, harga minyak terus menjunam

Estimate Reading Time: 2 minutes

HONG KONG: Pasaran saham dan harga minyak semakin merosot, ketika dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, dengan pelabur juga semakin bimbang selepas Russia mengisytiharkan kemenangan dalam pungutan suara di Ukraine yang mencetuskan kontroversi.

-Advertisement-

Pelabur turut memerhatikan dengan penuh minat perkembangan di London, selepas pengumuman Menteri Kewangan, Kwasi Kwarteng untuk memotong cukai dalam mini bajet minggu lalu mengejutkan pasaran, mengheret turun ke paras terendah dalam sejarah dan memberikan amaran buruk terhadap ekonomi Britain.

Walaupun pasaran Asia mencatatkan sedikit kenaikan semalam, pasaran di New York dan Eropah kebanyakannya merudum, dengan Wall Street terkesan oleh data yang menunjukkan peningkatan mengejutkan tahap keyakinan pengguna di AS, berkemungkinan disebabkan oleh penurunan harga petrol dan peningkatan jualan rumah.

Angka berkenaan menunjukkan daya tahan dalam ekonomi terbesar dunia itu di sebalik tiga kenaikan besar kadar Rizab Persekutuan (Fed) dengan jangkaan satu lagi kenaikan pada November, dalam usahanya untuk membendung inflasi yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat dekad.

Beberapa pegawai Fed minggu ini telah menyatakan keazaman untuk terus menaikkan kadar faedah sehingga harga terkawal, walaupun berdepan kemelesetan.

Pemerhati kini menjangkakan kos pinjaman akan melepasi kira-kira 4.75 peratus tahun depan, manakala sebahagian pembuat dasar telah membayangkan bahawa mereka akan kekal untuk menaikkan kadar faedah dalam tempoh yang lama.

Prospek dasar monetari yang ketat itu telah menjejaskan pasaran saham, dengan pulangan Perbendaharaan 10 tahun AS, yang menjadi pengukur kadar faedah akan datang, menghampiri empat peratus buat kali pertama sejak 2010.

-Advertisement-

Dow dan S&P 500 masing-masing susut, walaupun Nasdaq mencatatkan sedikit peningkatan.

Pasaran saham Asia meneruskan trend penurunan dengan Tokyo, Hong Kong dan Seoul semuanya jatuh lebih daripada dua peratus, manakala Shanghai, Sydney, Singapore, Wellington, Taipei, Manila serta Jakarta turut susut.

Dolar AS terus menjadi mata wang tumpuan dengan Fed menerajui usaha bank-bank pusat untuk mengetatkan dasar.

“Selagi dasar monetari dan fiskal di seluruh dunia tidak dapat mengukuhkan mata wang masing-masing, kita boleh menjangkakan nilai dolar amat kuat,” kata penganalisis Credit Suisse Group AG, Nannette Hechler-Fayd’herbe.

-AFP -BH