AYER KEROH 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus memperkukuh agenda pembangunan Islam di negeri ini menerusi Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka dan turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Azhar bin Arshad bersama barisan kepimpinan negeri serta Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Melaka.
Turut hadir ialah YB Datuk Rahmad bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap Timbalan Pengerusi MAIM; YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Pegawai Kewangan Negeri Melaka; YB Datuk Khairul Azreem bin Mamat, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka; Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim bin Tawel, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; YDH DCP Dato’ Dzulkhairi bin Mukhtar, Ketua Polis Negeri Melaka serta pegawai kanan agensi berkaitan.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelbagai perkara berkaitan pengukuhan syiar Islam, pemantapan pengurusan hal ehwal Islam serta pembangunan institusi pendidikan Islam di Negeri Melaka.
-Advertisement-
Perbincangan turut meneliti langkah strategik bagi memperkasakan tadbir urus institusi agama, memperluaskan agenda pembangunan ummah serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Melaka Maju Jaya.
YB Datuk Wira Azhar bin Arshad turut menzahirkan penghargaan kepada urus setia dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan mesyuarat berjalan lancar, selain berharap segala keputusan yang dipersetujui dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan demi memperkukuh pembangunan Islam serta memberi manfaat kepada masyarakat Negeri Melaka – The Capital Post