Menteri Kesihatan Tinjau STEMI Network di Klinik Kesihatan Lenggong

Estimate Reading Time: 1 minute

LENGGONG 11 Ogos 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Hulu Perak dengan mengunjungi Klinik Kesihatan Lenggong (Jenis 4) bagi meninjau penyampaian perkhidmatan kesihatan primer kepada masyarakat setempat.

Ketibaan beliau di fasiliti berkenaan disambut Pakar Perubatan Keluarga, YBrs. Dr. Mohd Azzahi bin Mohamed Kamel, dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lenggong, YBrs. Dr. Zubaidah binti Mustafa.

Dalam lawatan tersebut, YB Menteri Kesihatan menerima taklimat berkaitan pelaksanaan STEMI Network yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Nor Hanim binti Mohd. Amin. Inisiatif berkenaan bertujuan mempercepatkan proses pengesanan dan rawatan awal bagi pesakit yang mengalami serangan jantung akut sebelum mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Pelaksanaan rangkaian tersebut dilihat penting dalam mempercepatkan intervensi terhadap pesakit serta meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa, khususnya bagi kes yang memerlukan tindakan perubatan segera.

Selain taklimat berkaitan STEMI Network, beliau turut diberi penerangan mengenai operasi Klinik Kesihatan Lenggong sebelum meninjau sendiri penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

-Advertisement-

Klinik Kesihatan Lenggong mula beroperasi sekitar tahun 1960 dan berkembang sebagai salah satu fasiliti penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan primer kepada komuniti setempat. Bangunan baharu yang dibangunkan menggunakan konsep Industrialised Building System (IBS) mula beroperasi pada 3 Februari 2014 sebelum dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 27 April 2017.

Kemudahan yang lebih moden dan mesra pelanggan itu turut membantu memperkemas aliran kerja klinikal serta menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang memenuhi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Klinik berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan merangkumi rawatan pesakit luar dan kecemasan, kesihatan ibu dan anak, perkhidmatan sokongan klinikal, penjagaan domisiliari serta rawatan khas termasuk penjagaan luka moden dan OSCA.

Selain itu, fasiliti tersebut turut menawarkan Program Kesihatan Mesra Remaja, Klinik Bergerak Orang Asli, Virtual Clinic serta pelbagai saringan kesihatan termasuk NHSI dan PeKa B40 bagi memenuhi keperluan kesihatan masyarakat setempat. – The Capital Post