Mi bandung udang galah ´Manja Corner´ tarikan di Parlimen Tg Piai

Estimate Reading Time: 2 minutes

PONTIAN- Jika berkunjung ke daerah Pontian, sudah pastinya burasak dan lepat lui iaitu menu tradisi Bugis serta asam pedas menjadi pilihan pengunjung yang ingin cuba menikmatinya.

-Advertisement-

Namun, bagi yang melalui Jalan Kukup-Pontian khususnya pengunjung yang pulang dari Kukup atau Taman Negara Tanjung Piai, gerai ‘Manja Corner’ yang terkenal dengan sajian mi bandung udang galah juga antara yang menjadi tumpuan.

Ketika ini, gerai tepi jalan di kawasan Rambah, yang dibuka mulai 4 petang hingga 11.30 malam itu dilihat menerima tempias Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai apabila dikunjungi ramai termasuk orang kenamaan, jentera dan para petugas pilihan raya itu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri turut berkesempatan mencuba kelazatan mi bandung udang galah tersebut ketika turun padang meninjau kempen dan gerak kerja Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya berkenaan, Sabtu lepas.

Pengusaha Manja Corner, Ismail Sirat, 50, dan isterinya, Hamidah Abu, 45, berkata lazimnya kira-kira 100 pelanggan mengunjungi gerainya pada hari biasa dan kira-kira 200 pelanggan pada hujung minggu, namun, ketika musim pilihan raya ini mereka semakin tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan.

“Tarikan istimewa gerai yang dibuka sejak 25 tahun lepas ini adalah mi bandung udang galah yang dihidangkan antara empat dan lima ekor udang galah, namun, sebagai pilihan lain, kami turut menyajikan mi goreng dan nasi goreng udang galah.

“Selain itu, terdapat juga menu sampingan seperti udang goreng kunyit, sate dan otak-otak turut disediakan di sini,” kata Hamidah ketika ditemui di gerainya yang terletak berhampiran Jeti Nelayan Sungai Rambah itu, baru-baru ini.

-Advertisement-

Beliau berkata penyediaan hidangan berkenaan dibantu anak sulung, Siti Nor Anisah, 21, yang baru menamatkan pengajian dalam bidang penyediaan makanan dan kulinari di Kolej Yayasan Pelajaran Johor serta enam pekerja,

Menurutnya, udang galah itu diperoleh dari Kelantan dan pada hari biasa sekurang-kurangnya 20 kilogram mi kuning dan 50 kilogram udang galah diperlukan sehari manakala 30 kilogram mi kuning dan 80 kilogram udang galah pada hujung minggu, bagi penyediaan ketiga-tiga hidangan.

Menceritakan lebih lanjut, Hamidah berkata ‘Manja Corner’ yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, berasal daripada nama timangan Ismail iaitu ‘Manja’ manakala resipi asal mi bandung itu daripada ‘air tangan’ ibu mentuanya sendiri.

Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept juga, kerap singgah di gerainya itu apabila pulang ke kawasan berkenaan selain Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, katanya.

Ditutup pada setiap Jumaat, Hamidah berkata mi bandung, mi goreng dan nasi goreng udang galah itu dijual pada harga RM10 sepinggan manakala untuk ‘special’ mengandungi antara tujuh dan lapan ekor udang galah pada harga RM15 sepinggan dan untuk ‘extra’ mengandungi antara sembilan dan 12 ekor udang galah pula dengan RM20 sepinggan.- BERNAMA