KANGAR, 3 Ogos (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan program MOTAC Kampung People sebagai acara kemuncak Kursus AI dan Pengukuhan Pasukan Setiausaha Pejabat MOTAC bagi memperkukuh kemahiran digital serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu dihadiri oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, bersama Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff, yang turut meluangkan masa menyantuni warga kerja.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam persekitaran kerja, di samping memperkukuh semangat kerja berpasukan serta kerjasama antara warga MOTAC.
-Advertisement-
Selain memberi pendedahan kepada teknologi digital yang semakin penting dalam sektor awam, program tersebut turut menjadi platform untuk memupuk budaya kerja yang lebih dinamik, inovatif dan saling menyokong.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen MOTAC dalam memperkasakan keupayaan modal insan melalui pembangunan kemahiran digital, sejajar dengan usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – The Capital Post