Ketua Pengarah Baharu MPOB Perkukuh Industri Sawit

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah baharu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd bersempena pelantikan beliau menerajui agensi berkenaan.

Pertemuan tersebut menjadi platform bagi membincangkan perancangan strategik serta hala tuju pembangunan industri sawit negara, khususnya dalam memastikan sektor agrikomoditi terus berkembang secara mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk usaha meningkatkan daya saing industri sawit Malaysia, memperkukuh peranan MPOB dalam penyelidikan serta pembangunan teknologi, selain memperkasakan kebajikan golongan pekebun kecil yang menjadi antara pemain penting dalam sektor berkenaan.

-Advertisement-

Kementerian Perladangan dan Komoditi menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh industri sawit negara melalui pendekatan inovasi, kelestarian dan peningkatan nilai tambah bagi memastikan sektor ini kekal menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, kementerian turut menzahirkan ucapan tahniah kepada YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd atas pelantikan tersebut serta berharap kepimpinan baharu MPOB mampu membawa kemajuan dan memperkukuhkan kedudukan industri sawit Malaysia di peringkat global. – The Capital Post