PERAK, 22 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meninjau beberapa cadangan projek pembangunan pelancongan di Teluk Intan dan Bagan Datuk bagi meningkatkan kemudahan serta pengalaman pengunjung.
Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, mengadakan lawatan tinjauan pada Isnin (21 September) bagi menilai potensi pembangunan di kedua-dua destinasi berkenaan.
Lawatan itu turut memberi perhatian kepada keperluan menaik taraf infrastruktur, kemudahan, keselamatan, keselesaan dan aksesibiliti di kawasan tarikan pelancongan.
Antara cadangan projek ialah membaik pulih Arca Udang Galah dan mural Lintasan Keretapi Teluk Anson–Tapah serta menaik taraf Arena Square dan kemudahan riadah Kapal Replika Bagan Datuk.
-Advertisement-
Cadangan lain termasuk pemasangan skrin LED informasi pelancong, menaik taraf papan tanda laluan tarikan pelancong, membaik pulih Laman Seni serta menaik taraf Medan Selera Menara Condong.
Turut dicadangkan ialah pengindahan Pekan Bagan Datuk menerusi pencahayaan artistik dan landskap.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, usaha berkenaan bertujuan memperkasa destinasi, menambah baik kemudahan dan memacu potensi sektor pelancongan di Perak. – The Capital Post